Wednesday, December 23, 2009

kisah seekor anak biawak

salam sejahtera semua yang singgah di blog ini.

Buat kali pertamanya saya ingin membawa satu kisah yang berkaitan dengan haiwan yang dinamakan sebagai biawak air dalam masyarakat tempatan. cerita saya ini adalah berlegar pada manusia dan haiwan ini sahaja dan tidak ada kaitan atau kiasan yang saya tujukan pada mana-mana manusia kerana seumur hidup saya belum pernah saya mengaitkan dan membuat panggilan kepada mana-mana manusia dengan panggilan haiwan itu.

Ceritanya begini, pada suatu hari selepas balik dari rombongan meminang untuk anak saudara saya di terengganu, oleh kerana kami sekeluarga lewat sampai balik ke rumah, maka saya dan keluarga bermalam di rumah ibu dan bapa mertua saya di satu kampung di jitra, kedah. Keesokkan paginya, semasa saya melalui kawasan belakang rumah mertua saya, saya terserempak dengan seekor anak biawak yang sedang mencari makanan di kawasan itu. tak jauh dari situ ada satu tempat yang digunakan untuk meletakkan kayu-kayu lama yang tidak digunakan dengan dialas oleh timbunan atap zing. selepas terkejut dengan kehadiran saya, anak biawak itu terus berlari dan bersembunyi di kawasan berkenaan.

Selang 2 hari selepas pulang ke rumah di jejawi, kami ke jitra semula atas tugasan rasmi, dan oleh kerana keadaan kesihatan ibu mertua saya tidak begitu sihat, maka saya dan keluarga singgah ke rumahnya. Pada waktu ini saya berkesempatan untuk memberitahu ibu mertua saya akan peristiwa saya terserempak dengan anak biawak tempohari sebagai satu langkah peringatan kepada ibu mertua saya yang memelihara ayam kampung supaya mengambil langkah berhati-hati terhadap kehadiran biawak berkenaan di kawasan itu.

Terkejut saya bila ibu mertua saya memberitahu saya bahawa dia memang dah lama menyedari kehadiran anak biawak itu di situ. katanya yang saya nampak tu bukan anak biawak, tetapi mungkin seekor biawak dewasa tetapi berbadan kecil. apa yang menjadikan cerita ini sebagai cerita ialah kerana biawak berkenaan mungkin telah ditinggalkan ibunya sejak kecil di situ. Tempat simpan kayu-kayu lama itu menjadi rumahnya sejak berbulan-bulan yang lalu. kata ibu mertua saya, setiap kali dia memberi makanan kepada ayam peliharaannya dengan nasi dan sisa-sisa makanan, biawak itu akan keluar bersama dengan ayam untuk makan bersama-sama dan ibu mertua saya yakin dan percaya yang biawak itu tidak pernah sekalipun mengganggu ayam peliharaannya sejak sekian lama.

Satu kesimpulan yang saya dan ibu mertua saya dapat nyatakan hasil dari pemerhatian kami terhadap biawak itu ialah anak biawak itu mungkin telah diabaikan oleh ibu dan keluarganya. Jadi semasa dalam proses membesar, dia (biawak itu) tak sempat tahu yang sebenarnya ia adalah seekor biawak. jadi membesarlah anak biawak itu bersama dengan ayam peliharaan ibu mertua saya cuma "rumah" sahaja yang berbeza. pada hemat saya,mungkin biawak itu tak tahu pun yang dia adalah biawak dari spesis yang berbeza dengan ayam. dia mungkin menganggap dirinya ayam, makan pun macam ayam jadi atas pemakanan yang tidak seimbang (makanan untuk ayam) maka dia tidak membesar sebagaimana seekor biawak biasa yang hidup dihabitatnya yang asal. Andaian saya diperkukuhkan dengan cerita ibu mertua saya yang mengatakan bahawa dia pernah buat macam-macam untuk menghalau dan membunuh haiwan berkenaan seperti meletakkan telur ayam yang beracun, tetapi tidak sedikit pun haiwan itu menjamahnya...pelik sungguh...jika saya berkesempatan membuat pemerhatian lagi, saya akan perhatikan sama ada dia akan menjelirkan lidahnya pada waktu-waktu biasa sebagaimana seekor biawak air yang hidup di habitat asalnya...saya juga mula memikirkan apakah biawak ini akan mempunyai zuriat dan selama manakah dia akan hidup di situ...sama-samalah kita ikuti perkembangnnya nanti bila saya berkesempatan berkunjung ke rumah ibu dan bapa mertua saya lagi.

1 comment:

  1. cerita ini sgt menarik..mari kita lihat apa yg berlaku pda biawak itu nanti..

    teladannya:stiap makhluk mampu beradaptasi dlm environment yg berbeza..carilah kesesuian d mana jua..namun jgn sampai resmi/jati diri/asal usul dilupakan pula...

    ReplyDelete